Legasi Niaga merupakan sebuah rancangan berbentuk majalah yang akan memaparkan tentang sesebuah perniagaan  yang dibina, dikekalkan dan diwarisi oleh ahli keluarga.

Setiap Jumaat, jam 8.30 malam.

LEGASI NIAGA Episod 1

LEGASI NIAGA Episod 2

Kerjayanya bermula sebagai kerani akaun namun beliau mengambil keputusan berhenti kerja demi keluarga. Bagaimana pun, insan yang sudah biasa bekerja, tidak betah duduk diam, sering mencari peluang menambah pendapatan. Segalanya bermula daripada perniagaan yang dijalankan di dapur kecil di belakang rumah. Bersama Puan Noraini pengusaha Noraini Cookies dalam Legasi Niaga.

LEGASI NIAGA Episod 3

Pemilik Carazon Cafe & Kitchen ini mendapat idea untuk mengabungkan cafe dan salon kerana masalah apabila terpaksa menunggu pasangan, anak dan isteri semasa membuat rawatan rambut. Menggunakan nama Corazon yang bermaksud jantung melambangkan setiap perniagaan perlu mempunyai jantung dan sekiranya jantung tidak berdenyut bermakna terhentilah atau terbengkalainya sesebuah perniagaan yang dijalankan.

LEGASI NIAGA Episod 4

Syarikat ini sebelum ini dikenali sebagai Ismalia Bakery dan telah berlaku pengambilalihan kilang dan menukar nama ke Millia Bakery. Di sini roti yang menjadi sebutan dan pengemar ramai ialah Roti Benggali. Syarikat ini banyak mengekalkan ciri-ciri tradisional di samping penyediaan ramuan untuk mengekalkan keasliannya. Di samping itu juga, kilang ini bukan sahaja mengeluarkan roti benggali malah turut menjual serta mengedar hampir 30 jenis roti dan kek.

LEGASI NIAGA Episod 5

Kamal & Kamal Pest Control adalah sebuah syarikat perkhidmatan kawalan perosak memberi tumpuan dalam Pengurusan Perosak Bersepadu. Syarikat ini  telah ditubuhkan di Malaysia sejak April 1985 sebagai sebuah syarikat milik keluarga Malaysia. Pengasas dan pemegang saham syarikat ini adalah Tuan Haji Hussein Kamal Bin Mohamed Omar ( sebagai Pengarah Urusan ) dan Pn Hajjah Che Ros Binti Pendek ( sebagai Pengarah Kewangan).

LEGASI NIAGA Episod 6

Mula bertapak pada 1907 iaitu 109 tahun lalu, Restoran Nasi Kandar Hameediyah terus seteguh karang memacu legasi perniagaan warisan keluarga pada usia mencecah satu abad. Diuruskan generasi ketujuh pada hari ini, saksikan liku-liku dilalui enam generasi terdahulu merentasi zaman berdepan cabaran termasuklah ketika Era Perang Dunia ke-2.

LEGASI NIAGA Episod 7

Rancangan Legasi Niaga, episod kali ini memaparkan tentang perniagaan legasi yang diberi nama Capal Jago. Pengurusannya kini diambil alih oleh anak kepada Allahyarham Hashim Hasan iaitu  Amrul Hidayat Bin Hashim merupakan generasi kedua yang mengusahakan perniagaan. Capal Jago ini bertempat di Seberang Perai , Pulau Pinang .

LEGASI NIAGA Episod 8

Dalam Episod 8 ini menyaksikan legasi perniagaan dodol warisan tradisional yang terkenal di Melaka. Mohd Zaini Mohd Adnan merupakan pengusaha dan pembekal dodol yang telah beroperasi sejak lapan tahun lalu. Perniagaan yang diberi nama Dodol Warisan Tradisional terletak di Kampung Pulai, Merlimau, Melaka. Beliau merupakan generasi kelima yang mewarisi perniagaan Dodol Warisan Tradisional berkenaan. Dodol warisan menawarkan enam jenis dodol iaitu perisa asli, kelapa, pandan, coklat, strawberi dan wajik.

LEGASI NIAGA Episod 9

Episod kali ini menyaksikan legasi perniagaan labu sayong dan kraf seramik yang terletak di Kampung Kepala Bendang, Sayong, Kuala Kangsar. Kz Kraf diusahakan oleh Encik Mohd Pareb Bin Zamari@Zamri telah beroperasi selama lebih 20 tahun dan didaftarkan secara rasmi pada Ogos 2000. Beliau merupakan generasi ketiga yang menguruskan perniagaan labu sayong dan kraf seramik yang diwariskan kepada beliau dari bapanya.

LEGASI NIAGA Episod 10

Episod kali ini menyaksikan legasi perniagaan Batu Nisan milik Mohd Azhar Bin Hj Sadan yang beroperasi di Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor. Merupakan pembuat batu nisan bumiputera sejak tahun 1990 dan menggunakan nama NisanWorld untuk memperkenalkan lagi jenama beliau kepada masyarakat. Beliau merupakan generasi kedua yang mewarisi perniagaan membuat batu nisan daripada tok guru beliau.