Panglima Angkatan Tentera melancarkan dokumentari Jejak Jeneral

KUALA LUMPUR 3 Ogos

Sempena Hari Kebangsaan 2015 yang akan disambut tidak lama lagi, orang ramai berpeluang menonton dokumentari yang memaparkan pengalaman, kenangan dan kejayaan bekas-bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mulai esok.

Dokumentari berjudul Jejak Jeneral terbitan Capital TV itu akan disiarkan di saluran 420, HyppTV pada pukul 8.30 malam setiap Selasa dengan memberi fokus kepada individu yang pernah memegang tampuk pemerintahan ATM.

gen1-image gen2-image

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Azman Yusof, program berkenaan merupakan yang pertama dalam sejarah penyiaran negara yang berjaya mengumpulkan maklumat daripada sebahagian bekas panglima ATM secara bertentang mata.

“Adalah menjadi kerugian besar jika kisah dan pengalaman panglima-panglima ini dibiarkan tenggelam bersama arus pemodenan. Pengorbanan mereka bukanlah kecil, mereka bermatian-matian, bermandi darah dan keringat demi keamanan dan kesejahteraan tanah air.

“Ramai yang sudah lupa dan ada juga yang tidak tahu tentang mereka ini yang memimpin angkatan tentera dalam peristiwa bersejarah negara seperti Ops Gonzales, Ops Indera, tragedi Lundu, misi menawan Al-Maunah di Sauk, Ops Gubir dan banyak lagi,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Dokumentari Jejak Jeneral, di sini hari ini.

Yang turut hadir Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Roslan Saad.

Tambah Noor Azman, program yang mendapat tajaan SAAB Tecknologies itu juga mengandungi satu episod khas bersama Zulkifeli yang berkongsi peristiwa berdarah pencerobohan Lahad Datu secara eksklusif.

Antara bekas panglima yang ditampilkan melalui dokumentari itu ialah Tan Sri Ghazali Mohd. Seth, Tan Sri Borhan Ahmad, Tan Sri Abdul Wahab Nawi, Tan Sri Azumi Mohamed, Tan Sri Rodzali Daud, Datuk Seri Zaini Mohd. Said, Datuk Nawi Alias, Datuk Abdul Latif Ahmad dan Datuk Tairobi Razak.

Sementara itu, Zulkifeli berpendapat peralihan zaman dan perkembangan ATM dapat dilihat melalui kepemimpinan dan kete­rampilan peneraju yang memerintah demi kedaulatan negara.

“Setiap panglima mempunyai identiti masing-masing serta kaedah yang berlainan tetapi tujuannya adalah sama iaitu memastikan negara dalam keadaan selamat daripada ancaman luar,” katanya.

~ Utusan Malaysia 4 Ogos 2015

Comments are closed.