Pelancaran Corporate Entrepreneurship Responsibility Tepat Masa Nya

Apabila Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) melancarkan dua program Corporate Entrepreneurship Responsibility (CER) pada 9 Jun lalu, ia merupakan satu langkah kearah yang betul. Dua program tersebut, MaGIC CER Circle dan MaGIC Activate, ialah inisiatif untuk menggalakkan lebih banyak penglibatan daripada sektor swasta dan korporat dalam pembangunan keusahawanan di Malaysia.

Generasi millennial dilahirkan dalam zaman dotcom dan dibesarkan dalam era startups. Maka tidak hairanlah jika kita dapati satu fenomena sekarang dimana ramai graduan yang tidak tergesa-gesa untuk mencari pekerjaan 9-to-5. Sebaliknya mereka giat melancarkan berbagai kegiatan usahawan dan startups. Dari segi pengumpulan statistik nasional, mereka akan disenaraikan sebagai belum mendapat pekerjaan dan akibatnya statistik menunjukkan kadar pengangguran dikalangan graduan melonjak naik.

Walaupun trend ini adalah sememangnya satu yang digalakkan, tetapi cabaran bagi usahawan muda ini ialah untuk mendapat sokongan bagi memasarkan dan mengembangkan produk dan servis mereka. Ekosistem untuk startup dan usahawan di Malaysia masih belum kukuh dan perlu di bentuk segera. Ini berbeza contohnya di Silicon Valley dimana ekosistem antara usahawan, venture capital dan korporat sudah menjadi sebahagian dari carahidup perniagaan.

Ini di akui oleh CEO MaGIC, Ashran Dato’ Ghazi, “Penglibatan sektor swasta dalam inovasi dan keusahawanan di rantau ini masih ketinggalan berbanding di peringkat antarabangsa. Inovasi korporat bukan lagi merupakan salah satu resepi kejayaan, ia kini menjadi keperluan utama untuk terus kekal dalam pasaran.”

Ekosistem ini penting terutamanya kepada usahawan di bidang IT. Mereka mungkin berupaya membangunkan sistem yang berinovasi tetapi jika pihak korporat takut atau tidak bersedia untuk mencuba idea-idea baru dari usahawan tempatan, bagaimana mereka hendak membina satu perniagaan yang boleh berkembang.

Menurut Datuk Ahmad Maslan, kerajaan mensasarkan untuk ekonomi digital menyumbang sebanyak 20% kepada KDNK Malaysia menjelang 2020. Untuk sasaran ini menjadi lebih bermakna, ia sepatutnya dijanakan bukan sahaja dari syarikat korporat tempatan dan antrabangsa (MNC), tetapi sebahagian yang substantif patut datang dari usahawan startups.

Inisiatif Corporate Entrepreneurship Responsibility (CER) seperti CER Circle dan MaGIC Activate mungkin tidak dapat menyelesaikan isu ini tetapi ia adalah satu langkah positif yang diharapkan akan terus disokong oleh MaGIC dan rakan kongsi korporat mereka.

Gambar sewaktu majlis pelancaran CER Circle dan MaGIC Activate

Datuk Ahmad Bin Haji Maslan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Ashran Dato’ Ghazi, CEO MaGIC


Bersama syarikat korporat yang menjadi rakan kongsi MaGIC CER Circle

Apa itu MaGIC CER Circle

CER Circle ialah platform ‘keahlian’ untuk syarikat korporat yang bekerjasama dengan MaGIC. Platform ini akan menghubungkan sebahagian daripada syarikat terbesar dalam industri berbeza dengan komuniti startup untuk memanfaatkan potensi teknologi baharu yang berkuasa mengubah pasaran sedia ada. CER Circle juga membangunkan projek inovasi secara berterusan melalui perkongsian kedua-dua pihak.

MaGIC CER Circle akan mengurangkan halangan kepada syarikat korporat yang berminat untuk menjalinkan perkongsian bersama startup dengan menunjukkan bagaimana kerjasama serupa dibentuk sebelum ini. MaGIC juga akan berkongsi dengan ahli-ahli CER Circle mengenai maklumat dan pengetahuan yang diterima daripada syarikat antarabangsa yang memiliki makmal inovasi sendiri.
Akhir sekali, MaGIC CER Circle juga mewujudkan potensi untuk syarikat korporat menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi MaGIC bagi menggerakkan agenda inovasi syarikat, menyemarakkan pembelajaran antara industri dan menyelesaikan cabaran rentas sempadan. Sebanyak 22 organisasi telah menjadi rakan kongsi MaGIC setakat ini, termasuk AIA, CIMB, IBM Malaysia, IJM, Media Prima, Allianz, UNICEF, Microsoft, Setia Haruman, Sunway Ventures, TM, Techstars dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Apa Itu MaGIC Activate

MaGIC Activate ialah platform dalam talian bagi syarikat korporat yang ingin menganjurkan cabaran inovasi untuk menarik penglibatan komuniti startup di peringkat serantau dan global. MaGIC kerap menerima permintaan daripada syarikat korporat yang mahu bekerjasama dengan startup supaya satu rangkaian dengan komuniti startup dan usahawan diwujudkan.

MaGIC Activate akan membantu syarikat menganjurkan cabaran inovasi untuk menarik penyertaan lebih banyak startup. Ia juga akan menjadi platform kepada startup untuk mencari rakan kongsi korporat bagi memperkenalkan inovasi mereka dalam industri tertentu, seterusnya membantu mereka berkembang serta memperluas atau mengakses pasaran baharu.

Melalui Startup Corporate Open Innovation Challenge Platform oleh MaGIC Activate, cabaran inovasi yang dianjurkan akan menghubungkan syarikat korporat dengan usahawan bagi mencari penyelesaian inovatif serba baharu. Ia merupakan inisiatif yang dilaksanakan MaGIC melalui perkongsian dengan Techstars Startup Program untuk memupuk kerjasama antara syarikat korporat yang merupakan peneraju dalam inovasi dan usahawan.

Melalui rakan kongsi komuniti kami, MaGIC mempunyai akses kepada lebih 3,000 startup yang boleh menyertai MaGIC Activate’s Open Innovation Challenges.

Setakat ini, sebanyak lapan cabaran inovasi telah diperkenalkan di Magic Activate contohnya seperti Media Prima Education Challenge yang mencari penyelesaian bagi mewujudkan platform sumbangan dana orang ramai (crowd funding) supaya pelajar berpotensi yang tidak memiliki sumber kewangan mencukupi dapat melanjutkan pelajaran selepas tamat persekolahan.

Selain itu, UNICEF Challenge pula menumpukan kepada pelaburan dalam peranti bantuan atau teknologi inovatif berasaskan sumber terbuka yang mampu memperbaiki kehidupan kanak-kanak kurang upaya.

Cabaran menarik lain termasuk Sunway Group Innovation Challenge bagi menerokai teknologi untuk menggerakkan kenderaan tanpa pemandu di jalan sekitar Sunway City dan laluan BRT. IJM Port of the Future Challenge pula mencari penyelesaian inovatif yang mampu meningkatkan secara ketara tahap keselamatan dan keberkesanan operasi pelabuhan serta logistik, dan dalam masa yang sama menghasilkan impak positif terhadap komuniti dan alam sekitar.

Untuk maklumat lanjut berhubung MaGIC CER Circle dan MaGIC Activate, sila layari www.magicactivate.com.

Comments are closed.