Kuala Terengganu – 19 Mac 2017

Selepas mesyuarat Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Negeri Terengganu hari ini, CEO ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John menyatakan bahawa antara tahun 2007 hingga 2016, negeri Terengganu telah meraih RM29.4 bilion pelaburan domestik dan asing, sekaligus mewujudkan lebih daripada 30,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat.

Pelaburan yang kukuh di Terenganu itu dijana oleh pertumbuhan pesat dalam sektor pembuatan, yang telah menyumbang 51.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan, diikuti sektor bioekonomi sebanyak 22.6 peratus.

Pelaburan oleh syarikat Bumiputera turut menjadi penggerak penting kepada pertumbuhan sosioekonomi Terengganu, di mana 57 projek Bumiputera bernilai RM3.7 bilion telah menerima sama ada insentif cukai daripada ECERDC, geran daripada TERAJU@ECER atau kedua-duanya sekali.

Daripada jumlah ini, 41 projek Bumiputera di dalam bidang pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan bernilai RM736.4 juta, telah menerima manfaat daripada Dana Mudahcara TERAJU@ECER berjumlah RM101.2 juta.

Mesyuarat Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER ini telah dipengerusikan oleh Menteri Besar Terengganu YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Razif bin Abdul Rahman.

ECERDC telah mengenalpasti beberapa projek utama di kawasan ECER termasuk pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) and Akuapolitan Kuala Nerus di Terengganu dan juga

  • pembangunan pelancungan Kampung Laut dan Tok Bali Industrial Park di Kelantan
  • membangunkan Kuantan sebagai satu Bandar Pelabuhan ala ‘Rotterdam of the East
  • projek memproses makanan laut di Endau-Rompin dan pembangunan industri pelancungan di Mersing, Johor
  • kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan di Tasik Chini Biosphere Reserve

Tentang ECER dan ECERDC

ecer-map

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC menjadi pendukung utama dalam menetapkan arah tuju, dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi ECER dengan menggalakkan dan membawa pelaburan ke Wilayah ini.

Wilayah ECER yang meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, kini merupakan wilayah yang sedang pesat membangun dan menjadi destinasi pelaburan yang unik, dinamik dan berdaya saing.

ECER meliputi kawasan seluas 66,000 km per segi atau 51% daripada keluasan Semenanjung Malaysia. Wilayah ini didiami oleh seramai 4.3 juta penduduk, atau 15% daripada jumlah penduduk Malaysia. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh lima kelompok ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani dan Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan.

Kelompok-kelompok ini disokong oleh pembangunan dalam bidang Pengangkutan, Prasarana, Hartanah dan Persekitaran untuk menjadikan Wilayah ini sebagai sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan gaya hidup yang berkualiti.